Khamis, 10 Disember 2015

SALAM PERKENALAN DARI ROZAFRINA

Entri  1

Teks: Rozafrina Abdul Rahman
Foto: Rozafrina  Abdul Rahman






Assalamualaikum  dan salam perkenalan dari saya.



Tanggal 23 Januari 1969, merupakan hari yang mendebarkan bagi pasangan Abdul Rahman bin Ibrahim dan Fatimah@Zaharah binti Ibrahim kerana menunggu kelahiran anak ketiga mereka ke dunia yang fana ini. Di waktu yang belum wujud lagi alat ultrasound, mereka mengharap agar bayi yang bakal lahir ini ialah bayi lelaki kerana dua anak yang sebelumnya adalah perempuan. Alhamdulillah, tepat jam 6.29 petang lahirlah seorang....bukan bayi lelaki tetapi bayi perempuan yang sihat di hospital kerajaan di Kuantan, Pahang. Apapun kedua ibubapa saya bersyukur kerana dikurniakan anak perempuan lagi.

Kakak saya yang sulung diberi nama Roslina, yang kedua diberi nama Roziana,dan ibubapa saya cuba membuat kelainan dari segi nama untuk anak ketiga mereka. Puas berfikir nama yang sesuai mereka mendapat  ilham memulakan nama saya dengan huruf R juga tetapi dengan suntikan nama yang agak unik iaitu Rozafrina. Kedua-dua kakak saya dijaga oleh nenek sebelah ibu saya di Tangkak, Johor dari usia mereka 3 bulan. Keadaan ini disebabkan oleh kedua ibubapa saya bekerja dan agak sukar untuk mencari pengasuh pada waktu itu. Sewaktu saya berusia 3 bulan, nenek meminta untuk mengasuh saya seperti kedua kakak saya, tetapi ibubapa saya membuat keputusan untuk menjaga saya sendiri di Kuantan agar tidak membebankan nenek saya.

Arwah bapa saya memang menginginkan anak lelaki sehingga semua mainan saya berupa pistol, senapang, bola,  kereta lumba mainan. Anak patung tiada dalam senarai mainan saya. Jadi saya memang agak buas seperti budak lelaki. Bila berpeluang balik ke kampung di Tangkak, habis patung mainan kakak saya rosakkan. Bulan berganti tahun, saya mendapat adik perempuan yang diberi nama Intan Zafina pada tahun 1972. Seronok dapat adik, tapi yang tak seronoknya  saya tidak boleh bebas bermain atau membuat bising apabila adik saya sedang tidur. Pada tahun yang sama, bapa saya yang bertugas sebagai anggota tentera di Kuantan diarahkan berpindah ke Kuala Lumpur. Kami menetap di Selayang sehingga 1975 dan seterusnya berpindah ke Flat Seri Selangor Jalan San Peng Kuala Lumpur pada akhir tahun 1975. 

Tahun 1976 merupakan tahun pertama persekolahan saya, ibubapa saya menghantar saya bersekolah di Tangkak bersama dua kakak saya dan tinggal bersama datuk serta nenek. Agak sukar pada mulanya untuk menjalinkan hubungan dengan kedua kakak yang jarang  dapat bertemu sebelum ini. Kakak-kakak amat rapat dengan nenek. Saya sentiasa dipinggirkan kerana saya nakal dan selalu membuat mereka marah dengan  merosakkan barang-barang mainan mereka. Hal yang demikian menyebabkan saya merasa rindu untuk tinggal dengan ibubapa saya terutama sekali dengan abah. Saya memang  rapat dengan abah. Untuk menghiburkan hati, saya banyak menghabiskan masa senggang  saya dengan menonton tv. Waktu itu tiada tv warna, tiada siaran TV 24 jam. Yang ada hanyalah TV Pendidikan yang bermula seawal 8 pagi dan berakhir jam 12 tengahari. TV RTM bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pukul 12 malam. Datuk yang saya panggil Wak Atok menyedari hal ini dan beliau melayan saya sepertimana abah melayan saya. Saya menjadi gembira semula, sekurang-kurangnya ada geng.

Tapi kegembiraan itu tidak lama, Wak Atok dijemput menghadap ilahi pada pertengahan tahun 1977. Saya sedih. Memandangkan Wak Atok dah tiada, ibubapa saya berbincang dengan nenek untuk membawa kesemua kami tiga beradik tinggal bersama di Kuala Lumpur dan bersekolah disana. Kami pun bersekolah di Sekolah Rendah Jalan Shaw, Kuala Lumpur. Ibu saya  waktu itu bekerja sebagai kerani di sekolah Semboyan Tentera Darat, di Sungai Besi. Pagi-pagi lagi ibu dah bangun untuk masak lauk tengahari sebelum ke tempat kerja walaupun ada pembantu rumah. Tugas pembantu rumah hanyalah untuk membantu mengemas rumah dan menjaga makan minum kami sepanjang ibubapa saya bekerja.  Begitulah rutin harian kami sekeluarga. Tabiat saya yang suka menonton semua rancangan di tv dan suka mengajuk cakap pelakon cerita koboi seperti "How The West Was Won", "The High Chapparal", cerita bercorak keluarga seperti "Little House on The Prairie" , "Eight is Enough" dan  cerita aksi seperti "Charlie's Angel", "Scarecrow and Mrs.King" dan banyak lagi merupakan titik tolak kepada minat saya untuk mendalami Bahasa Inggeris.

Hasrat Abah untuk mendapat anak lelaki tercapai jua apabila Muhammad Firdaus lahir pada bulan Januari 1980. Kemudian kami berpindah dari rumah flat ke rumah teres setingkat yang dibeli melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). di Seksyen 11, Shah Alam pada pertengahan tahun yang sama. Saya meneruskan persekolahan rendah dan menengah di Shah Alam.  Keputusan SPM Gred 1 telah melayakkan saya untuk memohon  TESL dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan berjaya mendapat tempat di PPP/ITM Shah Alam untuk Matrikulasi TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris  sebagai Bahasa Kedua). Kemudian  menyambung pengajian  ijazah sarjana muda TESL ini di Universiti Kebangsaan Malaysia selama empat tahun.


Pengalaman Kerja:

Selepas tamat pengajian, saya telah dipostingkan ke Sekolah pertama saya di  Felda Lok Heng,Johor pada bulan Julai tahun 1993 iaitu Sekolah Menengah Lok Heng. Pada penghujung tahun yang sama, saya telah diijabkabulkan dengan pilihan hati saya, seorang jejaka dari Kedah - Aswadi Che Omar , graduan Sains Komputer dari UKM. Bermulalah hidup sebagai suami isteri PJJ (Pengantin Jarak Jauh)- saya di Johor dan suami di Selangor. Pada Januari tahun 1994, saya telah memohon untuk bertukar negeri untuk menetap dengan suami di Bangi, Selangor. Pada bulan April 1994, permohonan pertukaran sekolah saya telah diluluskan. Saya ditukarkan ke Sekolah Menengah La Salle, Petaling Jaya dan mengajar sesi petang.

Mengajar di situ tidak lama hanya empat bulan sahaja. Bayangkan waktu itu tiada komuter seperti hari ini, saya terpaksa  menaiki dua buah bas untuk ke sekolah. Keluar rumah seawal 9.00 pagi dan sampai ke sekolah paling awal pukul 1. 30 tengahari. Itu pun dah dikira lewat 30 minit sebab kelas bermula pukul 1 tengahari. Kelas berakhir pukul 6 petang dan saya sampai dirumah pukul 9.30 malam. Letihnya badan tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Suami saya bekerja di kilang Sony TV di Bangi. Jadi dia berada dirumah lebih awal dari saya dan sentiasa menunggu kepulangan saya dengan rasa risau. Pada  bulan April saya disahkan mengandung anak sulung. Kami sungguh gembira dengan berita ini. Hari berganti bulan, saya terasa terlalu lelah untuk berulang-alik ke tempat kerja dengan berbadan dua. Sehinggakan pada suatu hari sewaktu kandungan berusia  3 bulan saya mengalami "threatened abortion". Saya diberi cuti sakit selama dua minggu. Atas nasihat doktor, saya minta ditukarkan kesekolah yang lebih dekat dengan rumah . Alhamdulillah , pada Ogos 1994 saya berpindah ke Sekolah Menengah Tinggi Kajang.

Saya melahirkan anak sulung kami secara "caesarian section" kerana kedudukannya menyongsang pada 28 Disember 1994. Menjadi seorang ibu merupakan satu perasaan indah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya rasa teruja melayan karenah puteri sulung ini yang tidak suka tidur. Selepas tempoh cuti berakhir, puteri kami diletakkan dibawah asuhan seorang jiran yang memang mengambil upah menjaga bayi seawal usia 3 bulan. Berat rasanya meninggalkan anak di bawah jagaan orang,namun digagahkan jua dan bertawakkal kepada Allah kerana menyambung tugas sebagai pendidik yang memang menjadi minat saya.

Bekerja sebagai pendidik di sekolah menengah ini banyak cabarannya. Selain dari menjalankan tugas hakiki sebagai guru, seorang guru itu juga perlu melakukan kerja-kerja pentadbiran yang tidak kurang juga banyaknya. Setelah lima tahun berlalu sebaik sahaja habis berpantang anak keempat,pada Oktober 1998 saya nekad berhenti sebagai guru di sekolah. Ibubapa saya terkejut dengan tindakan saya, tetapi selepas berbincang dari hati ke hati, mereka  redha. Saya maklumkan pada mereka yang saya sedang memohon untuk menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sebuah institusi pengajian tinggi swasta  di Seri Kembangan, Serdang. Alhamdulillah pada Disember 1998, bermulah tugas saya sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Institut Pembangunan Sumber Manusia (IPSM).

Setelah bertugas selama lebih dua tahun di IPSM, pada Februari 2001 saya mendapat tawaran kerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) cawangan Bangi. Setelah bekerja genap setahun, saya berhenti kerja untuk  mengikut suami berpindah kerja di Johor Bahru sewaktu sedang sarat mengandung 8 bulan anak ke 6. Beliau bertugas di NIOSH HQ di Bangi sejak tahun 1999 selepas mengalami kejatuhan dalam bisnes IT. Kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengurus NIOSH cawangan Johor Bahru. Selama dua tahun di Johor Bahru, saya menjadi suri rumah sepenuh masa memandangkan percaturan awalnya suami saya hanya diarahkan untuk mengurus cawangan ini selama dua tahun sahaja sebelum dipanggil balik ke NIOSH HQ.

Setelah tempoh masa dua tahun itu tamat, pihak pengurusan atasan meminta suami menyambung lagi khidmatnya di Johor. Oleh kerana itu, suami saya menepati janjinya dan membenarkan saya bekerja semula sebagai pendidik. Pada tahun 2004 saya mula berkhidmat dengan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Islam Johor sebaik sahaja lepas pantang anak yang ke -7. Kemudian diarah berkhidmat di Institut Hospitality YPJ, Johor Bahru. Banyak pengalaman yang ditimba sepanjang menjadi tenaga pengajar disini dan anak ke-8 saya lahir sewaktu bekerja di sini.
.
Dalam bulan Mei 2007, saya mendapat panggilan temuduga dari UTMSPACE Johor Bahru untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai koordinator program. Alhamdulillah, rezeki anak yang ke- 9, pada Julai 2007, saya memulakan tugas saya di UTMSPACE Johor Bahru sebagai Koordinator Program Bahasa Inggeris untuk pelajar antarabangsa UTM. Selain daripada mengajar, saya dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasikan perjalanan program Bahasa Inggeris Intensif untuk bakal pelajar antarabangsa Sarjana Muda, Master dan PhD UTM  yang tidak memenuhi syarat kemasukan Bahasa Inggeris UTM. Banyak yang dipelajari ketika bertugas dibawah pimpinan ketua jabatan saya Prof. Madya. Dr. Abdul Halim bin Abdul Raof.

Hasil tunjuk ajar beliau, saya telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus, Unit Bahasa Inggeris dan Program Persediaan pada tahun 2010. Menjadi pengurus ini bukan suatu tugas yang mudah, ianya memerlukan semangat kepimpinan yang tinggi dalam menguruskan staf dan kerja demi untuk mencapai KPI syarikat yang telah ditentukan setiap akhir tahun. Unit yang saya terajui ini berkait rapat dengan UTM. KPI bahagian kami bergantung kepada berapa ramainya intake pelajar antarabangsa setiap semester. Jika ramai pelajar tidak memenuhi syarat Bahasa Inggeris yang ditetapkan maka meningkatlah prestasi kewangan bagi bahagian kami untuk tahun itu. Tapi langit tidak selalu cerah, kemasukan pelajar antarabangsa ke UTM merosot pada akhir tahun 2012 disebabkan faktor syarat baru kemasukan Bahasa Inggeris yang diketatkan.

Pelbagai usaha dibuat untuk memulihkan kedudukan kewangan unit kami, walaubagaimanapun, kita merancang tuhan yang menentukan segalanya. Pada Oktober 2014, pihak pengurusan atasan UTMSPACE telah membuat keputusan untuk memansuhkan unit kami dan menawarkan Mutual Separation Scheme (MSS) kepada kami. Setelah berfikir semasak-masaknya dan bermesyuarat dengan ahli keluarga, saya mengambil keputusan menerima MSS ini kerana saya percaya rezeki  ada dimana-mana dan kita sebagai hamba Allah perlu berusaha untuk menjemput rezeki tersebut. Pada 1 November 2014, saya dengan rasminya berhenti dari UTMSPACE. Saya kemudiannya meneruskan kehidupan dengan mengajar secara part-time dan menyimpan cita-cita untuk membuka bisnes secara online.

Pengalaman Bisnes

Saya dan suami bukan datang dari keluarga yang berniaga. Kami datang dari keluarga yang bekerja makan gaji seperti kebanyakan orang. Tentunya kerja  di sektor awam yang di cari kerana ianya menjamin masa depan kami. Tetapi suami saya ingin memecahkan tradisi bekerja makan gaji ini dengan menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi maklumat. Pada tahun 1997, suami saya berhenti dari Sony TV dan menyahut panggilan menjadi usahawan teknopreneur dengan mengusahakan IT Base di Bandar Baru Bangi di bawah seliaan  Kementerian Sumber Manusia pada waktu itu. IT Base ini ialah pusat latihan yang melatih orangramai untuk celik IT. PAda awalnya saya tidak bersetuju dengan idea ini keran saya risau sekiranya bisnes tidak menjadi dan berbagai perasaan bermain dalam diri. Tetapi setelah nampak sambutan yang menggalakkan dari orang ramai, saya mula menukar persepsi saya terhadap dunia bisnes. Langit tidak selalu cerah, perniagaan kami hanya bertahan tidak lebih dua tahun akibat kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1998.

Keadaan ini memaksa suami saya untuk bekerja makan gaji semula dengan agensi kerajaan NIOSH. Walaubagaimanapun, semangat untuk berbisnes tetap ada dalam diri kami. Semasa di Johor pada 2007, kami sekeluarga menjual nasi lemak di tepi jalan berdekatan dengan taman perumahan kami.Objektif utama ialah untuk mendidik anak-anak tentang konsep berniaga makanan. Bisnes ini bertahan 3 bulan sahaja. Tetapi kesannya pada anak-anak cukup besar. Sebahagian dari mereka seronok berniaga dan meminta saya membuat roti hotdog goreng untuk mereka jual di sekolah.

Selain daripada itu pelbagai rangkaian MLM yang pernah diceburi antaranya Nutrimetics, Eraedar,Cosway, Zhulian, 4Life dan terkini HPA. Tetapi tidak pernah berjaya mendapat pangkat yang tinggi. Saya hanya aktif sebagai pengguna, tidak pandai mencari downline.Semua rangkaian MLM yang saya ceburi ini ada kaitan dengan produk makanan kesihatan. Saya dan suami memang meminati produk rangkaian kesihatan seperti Chlorella, Spirulina, Transfer Factor, Moringga, rangkaian produk homeopathy dan sebagainya. Kami pernah buka kedai online  OPP4LIFE.COM untuk menjual barangan kesihatan ini tapi tak berjaya juga.

Pada saat entri ini di tulis , suami saya yang merupakan seorang freelance trainer dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH)dan juga seorang programmer sedang bertungkus lumus membina sebuah program online untuk manfaat semua yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sejajar dengan usahanya, menyebabkan saya juga berminat untuk membuat bisnes secara online dan meneruskan pencarian sehingga berjumpa dengan rakan seperjuangan saya Pn. Rahiza Haszian yang memperkenalkan ABDR ini. Melalui beliaulah saya teruja dan berminat untuk belajar menjadi penulis blog yang konsisten dan dapat berkongsi manfaat dengan pembaca diluar sana dan seterusnya dapat menukar pembaca sedia ada kepada pembeli setia. Alhamdulillah saya sekarang ini adalah anak didik  kepada Pn. Anys Idayu Zakaria dalam usaha menjadi WAHM yang berjaya.

Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pengasas ABDR Pn. Masayu Ahmad yang mencipta ruang dan peluang bagi ramai surirumah seperti saya Matlamat jangka panjang saya adalah untuk meneruskan legasi ABDR ini dengan menjadi usahawan online yang berjaya dan menjadi mentor kepada surirumah yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia bisnes secara maya. Insya Allah. Doakan saya ya!


Salam sayang dari saya,













Tiada ulasan:

Catat Ulasan