Rabu, 13 Januari 2016

RAWATAN ALTERNATIF MENANGANI DEMAM DENGGI MENGGUNAKAN DAUN BETIK

Entri 5

Teks: Rozafrina Abdul Rahman
Foto : Google


         


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada para pembaca yang dikasihi,

Perasan tak, sejak akhir-akhir ni cuaca semakin hari semakin panas? Waktu malam pun masih terasa bahangnya. Ini  adalah disebabkan oleh fenomena alam yang diberi nama El Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1997. Menurut Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah, Pengarah NARC Universiti Malaya, cuaca panas melampau ini di jangka bertahan sehingga Mac 2016.

Kesan daripada fenomena ini, Malaysia bakal menghadapi kemarau di sesetengah tempat dan bekalan air akan terjejas. Rantaian bekalan makanan dan ekonomi juga bakal  terjejas sebagai contoh Negeri Kedah tidak dapat menghasilkan padi seperti kebiasaannya kerana kemarau maka kenaikan harga beras akan berlaku. Selain daripada itu fenomena ini juga memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Cuaca yang kering dan berjerebu bermula pada Ogos 2015 telah menyebabkan ramai di antara kita yang mengalami masalah kesihatan seperti asma, batuk, mata berair dan sebagainya. Walaupun jerebu sudah sampai ke penghujungnya, cuaca panas kering melampau yang dihadapi sekarang telah mengakibatkan kes demam denggi meningkat pada minggu pertama tahun 2016 di seluruh negara sebanyak 3,337 kes berbanding 2,511 kes dicatatkan oleh KKM pada akhir tahun 2015.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, fenomena El Nino ini memberi kesan drastik kepada kitaran hidup nyamuk Aedes. Kitaran dari telur ke peringkat nyamuk dewasa menjadi semakin singkat iaitu kurang dari seminggu. Ini secara tidak langsung menyebabkan populasi nyamuk Aedes semakin bertambah. Suhu yang panas melampau ini juga mendorong nyamuk Aedes menjadi lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa  adalah lebih tinggi. Akibatnya sebaran virus denggi menjadi lebih meluas.

Berbagai kempen dijalankan dalam memerangi demam denggi ini, tetapi persoalannya bagaimana kita nak mendepani masalah demam ini sekiranya kita atau ahli keluarga terdekat kita dijangkiti virus ini? Seperti yang kita sedia maklum, dalam perubatan konvensional, tiada rawatan yang khusus untuk denggi , apa yang diiperlukan adalah pesakit perlu minum banyak air dan banyakkan berehat.


RAWATAN ALTERNATIF UNTUK DEMAM DENGGI

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat yang diberikan kepada kita sebagai orang Islam di mana kita percaya setiap penyakit yang Allah turunkan mesti ada ubatnya sebagaimana yang termaktub dalam hadis dibawah:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit ubatnya, maka (berubatlah kamu sekalian, tetapi) jangan berubat dengan yang haram.” (HR. Abu Dawud).

Allah telah menganugerahkan kita tumbuh-tumbuhan  herba yang pelbagai dan setiap satunya mempunyai fungsi sebagai remedi semulajadi untuk merawat penyakit dan memulihkan fungsi organ dalaman kepada asal. Bagi demam denggi, daun betik telah digunakan sebagai alternatif dalam rawatan dengan meminum jusnya. Amalan meminum jus daun betik ini telah lama dilakukan oleh orang Asia seperti di India, Malaysia dan China. Ada yang menggunakan kaedah merebus daunnya dan minum air rebusan tersebut. Ada pula yang menumbuk daunnya dan memerah jusnya. Kebiasaannya pesakit akan kembali sihat dan bertenaga pada hari  ketiga pengambilannya.

PENYEDIAAN JUS DAUN BETIK

Bahan-bahannya:

2 helai daun betik matang
Pengisar jus @ lesung
Pisau dan papan pemotong
Penapis kain
Botol yang bersih
Sudu Besar


Cara penyediaan:

1.  Ambil 2 helai daun betik tadi dan buang tangkai daunnya terlebih dahulu
2.  Basuh daun dengan air bersih yang mengalir
3.  Kemudian rendamkan daun dalam bekas berisi air selama 15 minit
4.  Bilas daun dengan air bersih sekali lagi
5.  Keringkan daun untuk singkirkan air berlebihan dengan mengibasnya.
6.  Potong daun sehingga menjadi kepingan kecil dan masukkan ke dalam jus extractor. Jika tiada jus extraktor bolehlah menggunakan lesung dan tumbuk hingga lumat kemudian tapis airnya menggunakan penapis
7.  Masukkan jus ke dalam botol yang bersih.
8.  Amalkan minum selama 3 hari berturut-turut sahaja. Iaitu 2 sudu besar sekali sehari selepas           sarapan pagi.

Dibawah ini adalah video dari Pusat Penyelidikan Perubatan Herba, Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan kaedah yang betul dalam mengekstrak jus dari daun betik.



Mudahkan? Rasanya memang pahit. Harap apa yang dikongsikan dalam entri kali ini memberi manfaat pada anda semua. Selamat mencuba :)

Salam sayang





Rujukan


Soobitha Subenthiran et.al.(2013). "Carica Papaya Leaves  Juice Significantly Accelerates the Rate of Increase in Platelet Count among Patients with Dengue Fever and Dengue HAemorrhagic Fever", Evidence Based Complementary and Alternative Medicine, vol. 2013.

http://www.majalahsains.com/penyelidikan-daun-betik-pengubat-denggi/

http://www.harakahdaily.net/index.php/sihat/39409-situasi-demam-denggi-di-malaysia-minggu-1-2016

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/el-nino-cuaca-panas-sehebat-1997-dijangka-berlarutan-hingga-mac-2016-64550

Tiada ulasan:

Catat Ulasan