Rabu, 13 Januari 2016

RAWATAN ALTERNATIF MENANGANI DEMAM DENGGI MENGGUNAKAN DAUN BETIK

Entri 5

Teks: Rozafrina Abdul Rahman
Foto : Google


         


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada para pembaca yang dikasihi,

Perasan tak, sejak akhir-akhir ni cuaca semakin hari semakin panas? Waktu malam pun masih terasa bahangnya. Ini  adalah disebabkan oleh fenomena alam yang diberi nama El Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1997. Menurut Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah, Pengarah NARC Universiti Malaya, cuaca panas melampau ini di jangka bertahan sehingga Mac 2016.

Kesan daripada fenomena ini, Malaysia bakal menghadapi kemarau di sesetengah tempat dan bekalan air akan terjejas. Rantaian bekalan makanan dan ekonomi juga bakal  terjejas sebagai contoh Negeri Kedah tidak dapat menghasilkan padi seperti kebiasaannya kerana kemarau maka kenaikan harga beras akan berlaku. Selain daripada itu fenomena ini juga memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Cuaca yang kering dan berjerebu bermula pada Ogos 2015 telah menyebabkan ramai di antara kita yang mengalami masalah kesihatan seperti asma, batuk, mata berair dan sebagainya. Walaupun jerebu sudah sampai ke penghujungnya, cuaca panas kering melampau yang dihadapi sekarang telah mengakibatkan kes demam denggi meningkat pada minggu pertama tahun 2016 di seluruh negara sebanyak 3,337 kes berbanding 2,511 kes dicatatkan oleh KKM pada akhir tahun 2015.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, fenomena El Nino ini memberi kesan drastik kepada kitaran hidup nyamuk Aedes. Kitaran dari telur ke peringkat nyamuk dewasa menjadi semakin singkat iaitu kurang dari seminggu. Ini secara tidak langsung menyebabkan populasi nyamuk Aedes semakin bertambah. Suhu yang panas melampau ini juga mendorong nyamuk Aedes menjadi lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa  adalah lebih tinggi. Akibatnya sebaran virus denggi menjadi lebih meluas.

Berbagai kempen dijalankan dalam memerangi demam denggi ini, tetapi persoalannya bagaimana kita nak mendepani masalah demam ini sekiranya kita atau ahli keluarga terdekat kita dijangkiti virus ini? Seperti yang kita sedia maklum, dalam perubatan konvensional, tiada rawatan yang khusus untuk denggi , apa yang diiperlukan adalah pesakit perlu minum banyak air dan banyakkan berehat.


RAWATAN ALTERNATIF UNTUK DEMAM DENGGI

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat yang diberikan kepada kita sebagai orang Islam di mana kita percaya setiap penyakit yang Allah turunkan mesti ada ubatnya sebagaimana yang termaktub dalam hadis dibawah:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit ubatnya, maka (berubatlah kamu sekalian, tetapi) jangan berubat dengan yang haram.” (HR. Abu Dawud).

Allah telah menganugerahkan kita tumbuh-tumbuhan  herba yang pelbagai dan setiap satunya mempunyai fungsi sebagai remedi semulajadi untuk merawat penyakit dan memulihkan fungsi organ dalaman kepada asal. Bagi demam denggi, daun betik telah digunakan sebagai alternatif dalam rawatan dengan meminum jusnya. Amalan meminum jus daun betik ini telah lama dilakukan oleh orang Asia seperti di India, Malaysia dan China. Ada yang menggunakan kaedah merebus daunnya dan minum air rebusan tersebut. Ada pula yang menumbuk daunnya dan memerah jusnya. Kebiasaannya pesakit akan kembali sihat dan bertenaga pada hari  ketiga pengambilannya.

PENYEDIAAN JUS DAUN BETIK

Bahan-bahannya:

2 helai daun betik matang
Pengisar jus @ lesung
Pisau dan papan pemotong
Penapis kain
Botol yang bersih
Sudu Besar


Cara penyediaan:

1.  Ambil 2 helai daun betik tadi dan buang tangkai daunnya terlebih dahulu
2.  Basuh daun dengan air bersih yang mengalir
3.  Kemudian rendamkan daun dalam bekas berisi air selama 15 minit
4.  Bilas daun dengan air bersih sekali lagi
5.  Keringkan daun untuk singkirkan air berlebihan dengan mengibasnya.
6.  Potong daun sehingga menjadi kepingan kecil dan masukkan ke dalam jus extractor. Jika tiada jus extraktor bolehlah menggunakan lesung dan tumbuk hingga lumat kemudian tapis airnya menggunakan penapis
7.  Masukkan jus ke dalam botol yang bersih.
8.  Amalkan minum selama 3 hari berturut-turut sahaja. Iaitu 2 sudu besar sekali sehari selepas           sarapan pagi.

Dibawah ini adalah video dari Pusat Penyelidikan Perubatan Herba, Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan kaedah yang betul dalam mengekstrak jus dari daun betik.



Mudahkan? Rasanya memang pahit. Harap apa yang dikongsikan dalam entri kali ini memberi manfaat pada anda semua. Selamat mencuba :)

Salam sayang





Rujukan


Soobitha Subenthiran et.al.(2013). "Carica Papaya Leaves  Juice Significantly Accelerates the Rate of Increase in Platelet Count among Patients with Dengue Fever and Dengue HAemorrhagic Fever", Evidence Based Complementary and Alternative Medicine, vol. 2013.

http://www.majalahsains.com/penyelidikan-daun-betik-pengubat-denggi/

http://www.harakahdaily.net/index.php/sihat/39409-situasi-demam-denggi-di-malaysia-minggu-1-2016

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/el-nino-cuaca-panas-sehebat-1997-dijangka-berlarutan-hingga-mac-2016-64550

Ahad, 10 Januari 2016

AMALAN PENGGUNAAN HERBA YANG BERKESAN

Entri 4

Teks   : Rozafrina Abdul Rahman
Foto   : Google









Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan bloggers sekelian,

FAKTOR YANG MENYEBABKAN PENGAMBILAN HERBA KURANG BERKESAN

Seperti yang saya janjikan di entri yang lalu, hari ini saya akan berkongsi tentang mengapa sesetengah orang yang mengambil herba tetapi tidak berkesan berbanding dengan sesetengah orang yang lain. Menurut  pakar herba Melayu juga pengasas HPA iaitu  Tuan Hj. Ismail bin Haji Ahmad, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengambilan herba pada sesetengah orang itu tidak berkesan. Antaranya :

1.   Masalah "mind set"  di mana pesakit ada perasaan ragu-ragu akan keberkesanan herba yang diambil menyebabkan proses kesembuhan sukar berlaku. (Sebagai seorang Islam kita seharusnya berusaha untuk mencari ubat bagi penyakit yang kita hadapi dan seterusnya kita mesti yakin bahawa hakikat penyembuhan itu datangnya dari Allah)

2.   Tekanan atau "stress" yang berpanjangan  akan menyebabkan tubuh mengeluarkan bahan kimia yang tertentu dan setrusnya menghalang penyerapan dan tindakan remedi herba.

3.   Pengambilan air yang tidak mencukupi menyebabkan ubatan herba tidak dapat diserap dengan baik oleh badan. Pesakit dinasihatkan agar minum sekurang-kurangnya 2 liter air sehari terutama apabila  seseorang itu mengambil herba yang bersifat diuretic yang mendorong kehilangan cecair badan melalui sistem perkumuhan. Herba ini membantu membersihkan sistem vaskular, buah pinggang dan hati.

4.   Pengambilan yang tidak berterusan atau tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam ertikata lain pesakit tidak konsisten dalam mengamalkannya.

5.   Dos yang tidak mencukupi menyebabkan tiada berlaku sebarang reaksi penyembuhan pada pesakit.





CARA MENGGUNAKAN HERBA DENGAN BERKESAN

1. Pengguna/pesakit mestilah yakin dan percaya terhadap kekuasaan Allah s.w.t yang mana Dialah yang mencipta penyakit dan Dialah yang menyembuhkannya. Sesungguhnya sifat tawakkal  akan menyebabkan diri seseorang itu menjadi lebih tenang dan secara tidak langsung mempengaruhi keadaan organ dalam tubuh kita, Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Koenig selama  lebih 30 tahun di Amerika Syarikat, beliau mendapati 50% kesembuhan sesuatu penyakit disebabkan oleh mereka yang kuat pegangan agamanya,selebihnya sebanyak 20% kesembuhan daripada emosi, 20% daripada mental dan 10% daripada sudut fizikalnya (seperti senaman).

2. Pesakit mestilah makan herba ini secara konsisten kerana  ianya berbeza dengan ubatan kimia. Proses penyembuhannya perlahan tetapi pasti. Ini adalah kerana  herba ini bersifat  memperbaiki organ yang rosak dari sumbernya.

3.   Pesakit dinasihatkan untuk minum air secukupnya (2.5 liter sehari). Ini kerana tubuh kita terdiri daripada 75% air (Otak mengandungi 74.5% air; darah 82% air dan tulang 22% air). Lebih cantik lagi sekiranya seseorang itu berdoa dengan menggunakan doa syifa ke atas air tersebut sebelum diminum. Ini kerana kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto berkaitan molekul air mendapati air mampu 'mendengar' ucapan, 'membaca' tulisan dan 'merekod' pesanan. Air yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran pula molekul airnya menjadi cantik bercahaya dan berkilau seperti berlian. Subhanallah!

4.  Mengambil sukatan yang betul menggunakan aturan umum dimana 1 gm herba mewakili 10 kg berat badan. Atau jika berat anda kurang dari 40 kg ambil 2 kapsul sehari. Jika lebih 40kg, 4 kapsul sehari (2 kapsul x 2kali sehari)

5.  Pangambilan herba dianggap berkesan apabila pesakit mengalami "Direction of Cure" (DOC) contoh pesakit gout yang mengambil herba untuk merawat gout contohnya akan mengalami DOC dengan cara goutnya kelihatan bengkak dan sakit.Teruskan pengambilan herba dan banyakkan minum air disamping berdoa Insya Allah pada hari berikutnya bengkak akan surut dan pesakit akan pulih..


Alhamdulillah, itulah yang dapat saya kongsikan bersama rakan pembaca pada entri kali ini. Semoga ianya dapat memberi manfaat pada kita semua.


Wassalam





RUJUKAN

Masaru Emoto (2000). Messages from Water. HADO Kyoikusha C. Ltd, Japan

http://www.newsmax.com/Health/Headline/prayer-health-faith-medicine/2015/03/31/id/635623/

http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=print&sid=63




Khamis, 7 Januari 2016

PENGENALAN TENTANG HERBA DI SEKELILING KITA

Entri 3

Teks : Rozafrina Abdul Rahman
Foto : Google






Assalamualaikum wbt. kepada rakan pembaca sekelian,

Apakhabar semua? Kita baru sahaja meninggalkan tahun 2015 yang penuh dengan kisah suka dan duka. Hari ini bermulalah hari baru di tahun 2016 mengikut kalendar Gregorian. Berbekalkan semangat tahun baru ini saya ingin membuka tirai blog ini dengan berkongsi serba sedikit  tentang apa itu herba  dan kepentingannya dari sudut perubatan dan kesihatan tubuh badan.


PENGENALAN

Manusia dan tumbuhan memang tidak boleh dipisahkan. Sejak Allah menciptakan Nabi Adam a.s, beliau telah diajar tentang nama segala jenis benda, dan tumbuhan dimuka bumi ini dan cara  penggunaannya sehingga para Malaikat menjadi kagum dengan kebolehan Nabi Adam. Ilmu berkaitan tumbuhan, khasiat dan kegunaannya kemudian diperturunkan dari satu generai ke satu generasi sehingga kini. Gambar di atas menunjukkan Dioscorides, seorang doktor  dizaman yunani bersama seorang pelajarnya sedang menukilkan 500 jenis tumbuhan herba yang penting untuk digunakan sebagai remedi untuk merawat penyakit dalam buku De Materia Medica yang diterbitkan pada kurun ke 12 selepas Masehi.

Apabila Islam berkembang di Baghdad pada zaman Abbasiyah, ramai ilmuan Islam telah  menggunakan buku ini sebagai rujukan dalam merawat pesakit seterusnya mengemaskini konsep dan tata cara pengubatan ke arah yang lebih maju sehingga menjadi panduan kepada perubatan moden hari ini.

India dan China juga merupakan negara yang menggunakan tumbuhan sebagai asas perawatan kesihatan. Di India misalnya terkenal dengan perubatan Ayurveda yang telah ujud sejak 5000 tahun yang lampau. Manakala China pula terkenal dengan catatan pengalaman herba yang lengkap dan terperinci sejak ribuan tahun dahulu dan sehingga kini sudah lebih 8000 jenis herba yang telah dikaji dan direkodkan.

Di Nusantara pula, terutama di Malaysia perubatan berasakan herba ini terkenal dikalangan kaum Melayu dan telah wujud sejak ratusan tahun dahulu. Walaubagaimanapun, penggunaannya tidak direkodkan secara ilmiah, ianya lebih menjurus kepada amalan golongan tertentu yang diturunkan secara lisan dari generasi  kepada generasi yang lain.

Hanya pada akhir-akhir ini banyak usaha yang telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk merekodkan khasiat tumbuhan herba yang terdapat di Malaysia ini dan cara menggunakanya dalam merawat sesuatu penyakit.

APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HERBA

Sewaktu mencari definisi tentang herba, saya terjumpa bukan satu tapi banyak definisi tentang herba. Hasil dari pembacaan tersebut dapat dirumuskan bahawa herba boleh didefinisikan sebagai tumbuhan renek atau tumbuhan berkayu  yang benihnya, bunganya, daunnya, batang, kulit kayu dan akarnya boleh digunakan sebagai bahan makanan, ubatan dan bahan aroma.


BENARKAH TUMBUHAN HERBA BOLEH MERAWAT PENYAKIT?


Menurut  Steven Horne (2009), seorang pakar herbalis dari Amerika Syarikat, tumbuh-tumbuhan 
sebenarnya tidak merawat penyakit sepertimana ubat-ubatan konvensional. Apa yang berlaku ialah tumbuhan ini membantu memulihkan keseimbangan persekitaran biologi, atau persekitaran dalaman badan secara alami. Pengambilan herba sebagai makanan  dapat menyempurnakan diet sehari-harian disamping itu herba juga menolong mengembalikan keharmonian tubuh akibat daripada belakunya gangguan disebabkan faktor pemakanan,alam sekitar dan tekanan-tekanan yang wujud. Ahli Herbalis menyatakan “biarkan makananmu menjadi ubat dan ubat menjadi makananmu”

Dari sudut pandangan Islam, Rasulullah SAW menganjurkan amalan memakan herba-herba yang tumbuh disekitar kita seperti  zaitun, tin, kurma, anggur dan sebagainya selain daripada madu dan bekam untuk memulihkan kesihatan badan seseorang dengan izin Allah.

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit ubatnya, maka (berubatlah kamu sekalian, tetapi) jangan berubat dengan yang haram.” (HR. Abu Dawud)

Dari Jabir berkata, “Rasulullah bersabda, bagi tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya, apa bila ber ubat yang dengan penyakitnya maka ia sembuh dengan izin Allah.” (H.R. Muslim) 


BAGAIMANAKAH HERBA BERFUNGSI DALAM MEMULIHKAN KESEIMBANGAN KESIHATAN BADAN?

Herba berfungsi secara berperingkat dan untuk memastikan keberkesanannya seseorang itu harus istiqomah dalam mengambilnya sebagai makanan seharian.  Pemulihan keseimbangan tubuh dengan herba in melalui  satu proses bertahap yang dikenali sebagai 4R (Release, Relax, Regenerate dan Refunction).

Huraian tahap fungsi herba adalah seperti berikut:

1. Release - Membebaskan, mengeluarkan atau membuang segala racun/toksik  yang mendap di dalam tubuh. melalui sistem perkumuhan kita seperti pembuangan air besar dan kecil serta peluh. Dalam ertikata lain proses detoksifikasi sedang berlaku.

2. Relax - Merehatkan. Pada peringkat ini tubuh kita berada didalam keadaan yang stabil dimana keadaan suhu, alkali dan asid badan berada pada tahap yany paling baik seterusnya membantu sistem imunisasi badan untuk bertindak.

3. Regenerate - Menghasilkan . Pada peringkat ini sel yang mati dan rosak diganti dengan yang baru. Antioksidan dalam herba bertindak mencegah penyakit degenaratif.

4. Refunction - Mengembalikan fungsi organ dalaman seperti keadaan asalnya sebagaimana Allah ciptakan apabila herba ini diambil secara berterusan.


Secara umumnya  pengambilan herba sangat baik untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita. Walaubagaimanapun, ia memerlukan masa dan pengambilan yang konsisten untuk melihat  hasil yang optimum berbanding dengan ubat-ubatan konvensional yang boleh menunjukkan kesembuhan dengan serta merta.

Persoalannya di sini, mengapa pengambilan herba menjadi tidak berkesan pada sesetengah orang. Hmm...untuk menjawabnya nantikan entri saya yang seterusnya ya !



Salam sayang,








 Rujukan

Nasnan Jajuli (2013). Herba Berpotensi di Malaysia. DBP: Kuala Lumpur

Reader's Digest (2003).Nature's Medicine. RD: London